Keradangan hati berkait rapat dengan perubahan dalam ekspresi lipoprotein dan apolipoprotein. Interferon-γ (IFN-γ), wakil tunggal jenis kedua IFN, memainkan peranan yang penting dalam memodulasi dan mempergiatkan tindak balas keradangan. Justeru itu, kajian ini direka untuk mengenal pasti kesan IFN-γ terhadap apolipoprotein A-I (APOA-I) dan penglibatan nuclear factor–kappa B (NF-κB) dalam laluan isyarat tersebut. Tindak balas rantai polymerase transkripsi berbalik kuantitatif (qRT-PCR) dan analisis blot western telah dilaksanakan untuk menguantifikasi ekspresi APOA-I dalam sel-sel HepG2 selepas dirawat dengan IFN-γ. Kajian ini menunjukkan bahawa 50 ng/mL IFN-γ merangsangkan ekspresi mRNA dan protein APOA-I. Walau bagaimanapun, pra-rawatan sel dengan inhibitor laluan isyarat NF-κB mengurangkan tahap ekspresi APOA-I. Kajian ini juga mendemonstrasikan penglibatan langsung isyarat NF-κB dalam ekspresi APOA-I akibat rangsangan IFN-γ, di mana IFN-γ meningkatkan tahap fosforilasi NF-κB p65 Ser468 dan Ser536 kepada 2.59-ganda and 1.63-ganda. Namun demikian, pra-rawatan sel dengan perencat laluan isyarat NF-κB melumpuhkan peningkatkan tersebut dan kemudian mengurangkan ekspresi APOA-I dalam sel HepG2. Sebagai rumusan, kajian ini berjaya mengenalpasti peranan isyarat NF-κB dan pengaktifan p65 Ser468 dan Ser536 sebagai pengantara IFN-γ ke atas induksi APOA-I di dalam sel-sel HepG2.