Aloi aluminium tempaan terawat haba siri 6XXX perlu melalui pelbagai proses termomekanik sebelum sedia digunakan sebagai badan luar kereta. Penuaan tabii yang lama pada suhu bilik memberi kesan yang tidak baik terhadap pengerasan tuaan. Ramai pengkaji telah memperkenalkan langkah tambahan seperti pra-penuaan untuk mengatasi masalah tersebut. Kajian ini bertujuan untuk meningkatkan respons pengerasan tuaan aloi Al-1.2Si-0.5Mg-0.25Fe berbentuk kepingan melalui penambahan Zr antara 0.02 hingga 0.30% bt. Aloi yang dikaji dilindap kejut air ke suhu bilik dan dibiarkan mengalami penuaan tabii selama 14 hari sebelum rawatan haba pada suhu 180ºC selama 30 minit dan juga 11 jam. Mikrokekerasan aloi Al-1.2Si-0.5Mg-0.25Fe tanpa Zr ialah 80.2 VHN untuk rawatan haba 30 minit dan 105.0 VHN untuk rawatan haba 11 jam. Mikrokekerasan, kekuatan tegangan dan kekuatan alah aloi yang mengandungi Zr dan dirawat haba pada 180ºC selama 11 jam adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan set aloi yang sama tetapi dirawat haba selama 30 minit. Namun begitu, aloi yang mengandungi 0.30% bt. Zr dan dirawat haba selama 30 minit mempunyai mikrokekerasan, kekuatan tegangan dan kekuatan alah yang lebih tinggi daripada aloi tanpa Zr tetapi dirawat haba selama 11 jam. Peningkatan sifat mekanik yang dilaporkan dikaitkan dengan fenomena penghalusan butiran.