Sains Malaysiana, 2016;45:1779-1785.

Abstract

Mekanisme pembentukan apatit pada permukaan β-wolastonit dikaji. β-wolastonit dihasilkan daripada teknik sol-gel menggunakan abu sekam dan batu kapur terkalsin sebagai bahan pemula dengan nisbah CaO:SiO2 adalah 55:45. Kebioaktifan sampel β-wolastonit dikaji dengan merendam sampel berbentuk silinder dalam larutan simulasi badan (SBF) untuk tempoh yang ditetapkan iaitu 1, 3, 7 dan 14 hari. Komposisi permukaan, morfologi dan perubahan struktur sampel sebelum dan selepas direndam dianalisis melalui pembelauan sinar-X (XRD) dan mikroskop elektron imbasan (FESEM) yang digabungkan dengan EDX. Keputusan XRD menunjukkan fasa β-wolastonit berjaya dihasilkan selepas dimasukkan ke dalam autoklaf untuk 8 jam pada suhu 135°C pada tekanan 0.24 MPa dan disinter 2 jam pada suhu 950°C. Apatit didapati tumbuh pada permukaan sampel β-wolastonit selepas 7 hari rendaman dalam larutan SBF. Semasa proses rendaman dalam larutan SBF, 2 jenis kumpulan kalsium fosfat dihasilkan iaitu amorfus kalsium fosfat (ACP) selepas 3 hari rendaman dengan julat nisbah Ca/P 1.2-2.02 dan pada hari ke-14 membentuk hidroskiapatit kurang kalsium (CDHA) dengan nisbah Ca/P 1.63. Perubahan fasa sampel β-wolastonit daripada keadaan hablur kepada amorfus jelas terbukti daripada keputusan XRD selepas direndam dalam SBF dengan penurunan puncak keamatan bagi sampel β-wolastonit pada sudut belauan 30°. Ini mengukuhkan mekanisme pembentukan lapisan apatit pada permukaan sampel β-wolastonit dan ianya bersifat bioaktif.