Abstract

Proses pergerakan gigi semasa rawatan ortodontik boleh dikelaskan kepada empat fasa iaitu pengaktifan (berkait inflamasi terhadap tisu serta kematian sel), penyerapan, proses berbalik dan pembentukan tulang. Pergerakan gigi ini berkait rapat dengan perubahan metabolik di sekitar mulut. Objektif kajian ini adalah untuk menentukan profil penanda biologi enzim di dalam air liur individu yang menerima rawatan ortodontik iaitu laktat dehidrogenas (LDH) bagi proses inflamasi, asid fosfatase rintang tartarat (TRAP) bagi proses penyerapan tulang dan alkali fosfatase (ALP) bagi proses pembentukan tulang. Sampel air liur diambil daripada 6 individu yang menerima rawatan ortodontik. Aktiviti kesemua enzim diambil sebelum pendakap dipasang (aktiviti normal) diikuti dengan hari ke-3, 7, 10, 14, 17, 21, 24, 28 dan 31 selepas pengaktifan. Hasil kajian mendapati kesemua enzim (LDH, TRAP and ALP) menunjukkan peningkatan yang signifikan (p≤0.05) selepas rawatan diberikan berbanding aktiviti normal. LDH didapati meningkat pada peringkat awal rawatan (hari ke-3,7 dan 10), TRAP pada hari ke 14 dan 17 diikuti dengan ALP pada hari ke-17, 21 dan 24. Sebagai kesimpulan, profil enzim sepanjang rawatan ortodontik menunjukkan proses inflamasi berlaku di peringkat awal rawatan diikuti proses penyerapan dan pembentukan tulang. Selain itu, keseluruhan fasa inflamasi, penyerapan dan pembentukan tulang ortodontik didapati mengambil masa 24 hari.