Sains Malaysiana, 2018;47:645-649.

Abstract

Kajian anatomi rizom dan stip telah dijalankan ke atas empat spesies Pleocnemia yang terdapat di Semenanjung Malaysia
iaitu P. irregularis, P. conjugata, P. hemiteliiformis dan P. olivacea untuk mengkaji variasi ciri yang terdapat pada rizom
dan stip ini. Kajian ini melibatkan keratan rentas stip dan rizom dengan menggunakan mikrotom gelongsor. Ciri anatomi
stip seperti bentuk luaran, corak kehadiran sel sklerenkima di bawah epidermis, jenis dan bentuk stel dan ciri anatomi
rizom seperti kehadiran sel rembes tanin dan kehadiran serta jenis trikom pada sesetengah spesies boleh digunakan untuk
pengecaman spesies. Ciri sepunya bagi spesies Pleocnemia yang dikaji ialah kehadiran sel sklerenkima mengelilingi stel
dan di bawah lapisan sel epidermis, stel jenis kompleks serta stel bagi kesemua spesies kajian berbentuk protostel primitif
(bulat). Antara ciri diagnosis yang ditemui dalam kajian ini ialah bentuk luaran stip, bilangan lapisan skelerenkima
di bawah epidermis, kehadiran sel rembes tanin bagi spesies P. irregularis dan P. hemiteliiformis serta kehadiran jenis
trikom yang berbeza dalam keempat-empat spesies. Ciri diagnosis ini adalah ciri yang baik untuk pengecaman spesies
kajian. Keputusan kajian ini menunjukkan bahawa ciri anatomi stip dan rizom mempunyai nilai taksonomi dalam genus
Pleocnemia dan boleh digunakan sebagai data sokongan untuk pengecaman dan pembezaan spesies.