Semakan semula litostratigrafi Formasi Singa dilakukan berdasarkan data-data baru yang diperoleh melalui kajian
terbaru. Secara umumnya, Formasi Singa dominan dengan batu lumpur hitam yang berselang lapis dengan batu pasir
nipis hingga sederhana tebal serta sedikit lapisan konglomerat. Kajian melibatkan analisis terhadap beberapa log
sedimen yang telah direkodkan di lapangan. Kesemua log sedimen tersebut telah dikorelasikan untuk mendapatkan satu
log komposit yang mewakili keseluruhan Formasi Singa. Berdasarkan kajian terperinci korelasi litologi yang dilakukan,
cadangan litostratigrafi baru Formasi Singa mengandungi empat ahli iaitu Ahli Kentut, Ahli Ular, Ahli Selang dan Ahli
Lembung. Ahli Kentut merupakan ahli yang paling tua diikuti dengan Ahli Ular, Ahli Selang dan Ahli Lembung. Ahli
Ular di dalam Formasi Singa dianggap sebagai satu unit kekanta antara Ahli Kentut dengan Ahli Selang. Beberapa
siri perubahan paras laut ditafsirkan sepanjang pengendapan batuan Formasi Singa dipercayai akibat daripada proses
pencairan glasier yang menyebabkan paras laut meningkat dan pengendapan berterusan yang menyebabkan lembangan
menjadi cetek dan paras laut menjadi rendah.