Kebahagiaan adalah rasa kesejahteraan, kegembiraan atau kepuasan yang boleh membawa kepada satu bentuk emosi yang positif dalam diri seseorang pekerja. Namun kebahagiaan akan merosot akibat daripada tekanan kerja dan masalah yang berkaitan dengan kesihatan. Kebanyakan pekerja tidak menyedari akan bahaya tekanan kerja yang pada akhirnya akan mengakibatkan kemerosotan kesihatan. Kajian ini dijalankan adalah bertujuan untuk mengenal pasti status kebahagiaan dan tekanan yang dihadapi oleh staf Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta mengukur kos kesihatan yang terpaksa ditanggung oleh mereka. Seramai 100 orang staf UMT, di mana 50 orang staf daripada bahagian akademik dan 50 orang staf daripada bukan akademik telah terlibat dalam kajian ini. Satu set soal selidik digunakan sebagai instrumen kajian. Data dianalisis dengan menggunakan perisian SPSS versi 20.0. Secara keseluruhannya, dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara faktor tekanan kerja dan kebahagiaan. Majoriti staf UMT menyatakan bahawa mereka bahagia ketika berada di tempat kerja iaitu sebanyak 78 peratus. Jumlah kos langsung perbelanjaan kesihatan yang terpaksa ditanggung oleh responden adalah RM2,220, manakala jumlah kos tidak langsung pula adalah RM1,4376.41. Antara kes tertinggi yang dirujuk ke pusat rawatan adalah berkaitan dengan tekanan darah tinggi. Oleh itu, kesedaran dalam kalangan pekerja dari segi cara mengawal tekanan mereka adalah penting untuk mencapai kesihatan yang baik seterusnya merasa bahagia apabila membuat kerja.