Affiliations 

  • 1 Universiti Kebangsaan Malaysia
MyJurnal

Abstract

Kanta sentuh merupakan alat optikal yang sepatutnya selamat digunakan untuk pembetulan ralat refraksi atau kosmetik. Namun demikian terdapat permasalahan berkaitan kesihatan mata yang timbul akibat sikap pemakai yang tidak patuh kepada garis panduan penjagaan kanta yang disaran oleh pengamal kesihatan mata. Justeru itu satu soal selidik berkaitan penjagaan kanta sentuh dilakukan di kalangan pemakai kanta sentuh di sekitar Kuala Lumpur. Ia berdasarkan 22 set soalan terfokus kepada penjagaan kanta sentuh termasuklah tatacara pembersihan dan disifeksi, rawatan enzim, penggunaan agen pembasah dan kekerapan menghadiri pemeriksaan lanjutan. Di samping itu, terdapat enam soalan yang diaju untuk meninjau pengetahuan pemakai berkaitan penjagaan kanta sentuh yang selamat. Seramai 104 pemakai kanta sentuh mengambil bahagian dalam kajian ini. Lebih kurang 86% daripada mereka adalah wanita dengan min umur 24 ± 6 tahun. Lebih setengah daripada mereka memakai kanta sentuh jenis pakai buang. Hampir kesemuanya (98%) menggunakan sistem disinfeksi kimia. Hanya 68% pemakai yang dikaji mencuci kanta mereka setiap kali sebelum memakai dan selepas menanggalkannya. Tiga puluh peratus (30%) pemakai kanta sentuh menggunakan agen pembasah dan 40% menggunakan tablet protein. Enam puluh satu peratus (61%) daripada mereka menyatakan tidak membuat temu janji untuk pemeriksaan lanjutan. Enam soalan tertumpu kepada pengetahuan pemakai mengenai penjagaan kanta yang selamat dan min jawapan yang betul ialah 61.4%. Sebahagian pemakai kanta sentuh tidak mengikut arahan penjagaan kanta sentuh seperti yang disaran oleh pengamal kesihatan mata. Ramai yang tidak faham akan garis panduan pemakaian kanta yang selamat. Kajian ini menunjukkan sebahagian daripada pemakai kanta sentuh tidak mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai risiko dan bahaya ke atas mata mereka kerana ketidakpatuhan pada arahan yang disaran oleh pengamal kesihatan mata. Pengamal kanta sentuh perlu memikirkan semula strategi untuk memastikan pemakai patuh kepada arahan berkaitan penjagaan kanta sentuh supaya komplikasi dapat dikurangkan.