Pencemaran air di Tasik Chini, Pahang kian meruncing akibat pembangunan sekitar yang tidak terkawal menyebabkan kemusnahan rantaian makanan sekaligus mengancam kelangsungan hidup komuniti asli. Justeru, kajian telah dijalankan bagi mengenal pasti faktor, impak dan keberkesanan strategi dengan menggunapakai Teori Pengambilalihan. Selain itu, kajian ini dipilih untuk memenuhi kelompangan kajian terdahulu yang lebih menekankan kepentingan pengekalan biodiversiti flora dan fauna berbanding kajian terhadap kehidupan komuniti setempat. Maka, kajian deskritif tinjauan telah digunakan melalui kaedah pemerhatian, temu bual mendalam bersama empat orang informan, dianalisis secara transkripsi, triangulasi dan analisis kandungan. Dapatan kajian menunjukkan faktor pencemaran air berpunca daripada pembinaan empangan air, projek pembangunan, aktiviti pembalakan, aktiviti perlombongan dan hakisan tanih. Sementara, pertanian komersial juga menjejaskan kegunaan domestik, hidupan akuatik terganggu, perubahan sifat air, kehilangan sumber pendapatan, dan tahap kesihatan terjejas. Oleh itu, cadangan memperluaskan program advokasi seperti pengawalan pembuangan sampah sarap, pematuhan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), penglibatan pihak awam dan swasta, pemantauan kesihatan, kesedaran awam, dan melakukan penyelidikan lanjutan. Kajian mendapati dua buah syarikat China mengeksport bijih besi yang diperoleh sekitar Tasik Chini menggunakan permit AP (Eksport dan Import) dari negeri lain, bukannya Pahang. Meskipun syarikat tersebut tidak mempunyai lesen melombong tetapi mereka mempunyai segala kelengkapan alatan memproses dan menjalankan operasinya hingga kini. Diharapkan isu pencemaran air di Tasik Chini dapat dipulihkan demi menjamin kelestarian sejagat.