Affiliations 

  • 1 Universiti Malaysia Sabah
MyJurnal

Abstract

Pemerkasaan wanita adalah salah satu syarat utama untuk mencapai kesaksamaan gender. Kajiankajian terdahulu mendapati sektor ekopelancongan berpotensi untuk memperkasa wanita dan merapatkan jurang gender dalam sesebuah komuniti. Namun begitu, sehingga kini masih wujud ketidaksaksamaan gender dalam sektor ekopelancongan dan ini telah memperlahankan proses pemerkasaan wanita dan seterusnya mempengaruhi pencapaian pembangunan komuniti khususnya di luar bandar. Sehubungan itu, kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dan perspektif gender untuk menganalisis kriteria-kriteria ketidaksaksamaan gender yang masih wujud dalam sektor ekopelancongan di luar bandar, Sabah. Disamping itu, kajian ini juga cuba untuk menilai sejauhmana sektor ekopelancongan mampu mengurangkan jurang ketidaksaksamaan gender serta mampu memperkasa wanita di luar bandar. Walaupun sebelum ini terdapat pelbagai kajian yang telah dilakukan di Sabah berkaitan isu ekopelancongan, namun pendekatan perspektif gender dalam kajian ekopelancongan di Malaysia khususnya di Sabah masih kurang. Untuk memenuhi kekurangan tersebut, kajian ini mengaplikasi pendekatan perspektif tersebut untuk menganalisis impak aktiviti sektor ekopelancongan di luar bandar terhadap pemerkasaan wanita, tahap pencapaian kearah kesaksamaan gender serta kesannya kepada pembangunan komuniti. Kajian ini dijalankan dalam dua buah kampung di Kota Belud iaitu Kampung Rampayan Laut dan Kampung Nanamun, iaitu dua buah kampung yang terlibat mengusahakan aktiviti-aktiviti berkaitan ekopelancongan.