Teknologi DNA mikroatur merupakan salah satu teknologi penting dalam penyelidikan biologi kini. Teknologi tersebut membolehkan analisis pengekspresan gen pelbagai sistem model pada skala genom dijalankan. Prestasi DNA mikroatur ditentukan oleh parameter seperti kepadatan titik, ciri-ciri titik (morfologi, kepadatan prob dan keamatan isyarat penghibridan), latar belakang, kespesifikan dan kesensitifan. Dengan menggunakan mesin pemegun GeneTac™G3, slaid mikroatur cDNA ikan siakap (Lates calcarifer) yang mengandungi 1920 klon-klon cDNA terpilih daripada perpustakaan cDNA hepar dan limpa yang dipegunkan secara duplikasi telah difabrikasikan. Klon-klon yang dipilih mempunyai fungsi putatif berkaitan dengan keimunan, aruhan tekanan, metabolisme, pengangkutan, transkripsi dan translasi. Kawalan negatif seperti oligonukleotida (A)50 dan beberapa gen daripada Saccharomyces cerevisiae dan Escherichia coli serta kawalan positif seperti beberapa siri pencairan DNA genom dan cDNA L. calcarifer juga dipegunkan ke atas slaid kaca. Diperhatikan bahawa kepekatan prob dalam julat antara 150-250 μg/mL, kesesuaian jenis kawalan positif dan negatif yang digunakan berjaya menghasilkan slaid yang berkualiti. Selain itu, perlakuan pengeringan slaid secara semalaman dan rehidrasi semula slaid menghasilkan morfologi titik DNA yang sekata dan membulat. Kawalan kualiti ke atas slaid yang terhasil membuktikan keberkesanan slaid yang difabrikasi untuk kajian respons transkriptom L. calcarifer terhadap jangkitan Cryptocaryon irritans.