Abstract

Bahagian aktif bagi enzim toksin bakteria daripada Burkholderia pseudomallei, Pseudomonas aeruginosa dan difteria merupakan domain ADP-ribosilasi. Domain ini didapati terpelihara di antara ketiga-tiga mikroorganisme. Di dalam kajian ini, domain ADP-ribosilasi Burkholderia pseudomallei telah diamplifikasi daripada genom B. pseudomallei virulen dengan menggunakan pencetus-pencetus yang dibina berdasarkan kepada jujukan domain ADP ribosilasi Pseudomonas aeruginosa. Hasil DNA amplifikasi ditulenkan dan digunakan sebagai prob (HPCR2) untuk menyaring DNA selitan daripada B. pseudomallei yang diklonkan ke dalam vektor pengekspresan pSport-I. Objektif kajian ini adalah untuk menyaring lapan klon yang positif hasil daripada penyaringan awal melalui pendekatan immunoblot menggunakan antitoksin daripada arnab. Penyaringan ini juga melibatkan tiga klon yang tidak memberikan isyarat positif semasa penyaringan secara immunoblot. Keputusan menunjukkan hanya satu klon (L31) daripada lapan klon immunoblot positif mempunyai domain ADP-ribosilasi. Penjujukan DNA separa klon L31 secara manual melibatkan dua pencetus menghasilkan jujukan sepanjang 450pb. Analisis selanjutnya mendapati daripada enam kemungkinan translasi kepada polipeptida hanya satu polipeptida wujud yang tidak mempunyai sebarang kodon penamat pada jujukan kodonnya.