Abstract

Famili Piperaceae pada keseluruhannya terdiri daripada 1,000 hingga 2,000 spesies yang boleh dijumpai di kawasan tropika dan subtropika. Dalam kajian ini, ekstrak etanol digunakan untuk melihat aktiviti sitotoksik ke atas sel kanser hati manusia (HepG2) dan sel bukan kanser hati Chang melalui kaedah pengasaian MTT (3,4 [dimetiltiazol-2-yl]-2, 5-difeniltetrazolium bromida). Sebanyak lapan spesies daripada famili Piperaceae telah terpilih untuk analisis aktiviti antitumor. Hasil kajian mendapati kesemua spesies Piperaceae (P. sarmentosum, P. ramifilum, P. paucistigmum, P. betle, P. macronatum, P. ridleyi, P. magnibaccum dan P. miniatum) menunjukkan aktiviti sitotoksik dengan ekstrak etanol Piper sarmentosum mempunyai nilai bacaan IC50 yang paling rendah ke atas sel HepG2 iaitu 12.5 μg/mL. Tiada aktiviti sitotoksik telah ditunjukkan oleh kesemua ekstrak etanol tumbuhan yang diuji aktiviti sitotoksik ke atas sel Chang kerana nilai bacaan IC50 kesemua ekstrak etanol yang diperlakukan ke atas sel Chang melebihi nilai piawai iaitu 30 μg/mL. Kaedah analisis viabiliti sel menggunakan tripan biru pula mendapati ekstrak etanol P. sarmentosum menurun secara signifikan (p<0.05) terhadap sel HepG2 berbanding kawalan. Kesimpulannya, kaedah MTT menunjukkan kesemua ekstrak etanol famili Piperaceae memberikan aktiviti sitotoksik dan kaedah tripan biru merupakan kaedah alternatif bagi penentuan kesitotoksikan sesuatu ekstrak.