Sains Malaysiana, 2014;43:1537-1542.

Abstract

Entomologi forensik adalah satu bidang ilmu yang menggunakan serangga sebagai bahan bukti untuk menganggarkan selang masa kematian atau selang post-mortem (PMI). Penentuan PMI tersebut berdasarkan kepada saiz dan peringkat perkembangan serangga. Chrysomya villeneuvi merupakan salah satu spesies langau yang boleh dijadikan sebagai petunjuk yang baik untuk menganggarkan PMI apabila ia ditemukan pada mayat. Kajian ini bertujuan untuk menghasilkan suatu data asas dan graf perkembangan bagi lalat Ch. villeneuvi pada suhu yang berbeza. Data yang diperoleh juga digunakan untuk membangunkan jadual jam darjah terkumpul (ADH). Justifikasi kajian dijalankan kerana data perkembangan lalat spesies ini belum dibangunkan di Malaysia. Penentuan PMI terpaksa dilakukan dengan berpandukan kepada data perkembangan Ch. megacephala. Ini akan menyebabkan pengiraan PMI menjadi kurang tepat. Kajian terdahulu juga hanya melibatkan kajian berkaitan morfologi dan tingkah laku spesies ini. Kajian perkembangan telur, larva dan pupa lalat Ch. villeneuvi dijalankan pada suhu bawah 25, 27, 30, 33 dan 37ºC di makmal dengan menggunakan kebuk pertumbuhan serangga. Sumber asal lalat dewasa diperoleh dengan meletakkan bangkai tikus di Pusat Penyelidikan Universiti Malaya, Batu 16, Gombak. Lalat dewasa dipelihara di makmal untuk dijadikan sumber koloni. Lebih kurang 150 biji telur dibiakkan dengan meletakkannya ke dalam bekas yang mengandungi 200 g hati lembu sebagai sumber makanan untuk larva yang baru menetas. Lima ekor larva diukur panjangnya setiap tiga jam untuk mendapatkan satu nilai purata untuk setiap suhu. Pemprosesan slaid dan pengambilan foto larva dilakukan untuk mengetahui peringkat perkembangan larva. Ch. villeneuvi mengambil masa selama 9.40 ± 0.02 hari pada suhu 25ºC, 9.34 ± 0.04 hari (27ºC), 9.00 ± 0.07 hari (30ºC), 7.95 ± 0.02 hari (33ºC) dan 7.51 ± 0.02 hari (37ºC) untuk melengkapkan satu kitar hidup. Pada suhu pembiakan yang berbeza, terdapat perbezaan signifikan (p<0.001) ke atas masa perkembangan kitar hidup lalat Ch. villeneuvi. Semakin tinggi suhu dan nilai ADH, semakin pendek satu kitar hidup lalat Ch. villeneuvi. Kajian ini menyatakan tentang tempoh peringkat dalam kitar hidup berdasarkan suhu membantu dalam pembangunan data ADH. Penyiasat forensik di Malaysia boleh menganggarkan PMI berdasarkan graf perkembangan dan data ADH yang diperoleh daripada kajian ini apabila Ch. villeneuvi ditemui pada mayat.