Affiliations 

  • 1 Universiti Sains Malaysia
MyJurnal

Abstract

Makalah ini membincangkan tatacara yang dimanfaatkan untuk membangunkan perisian e-terjemahan bersuara chengyu daripada bahasa Cina kepada bahasa Melayu. Chengyu ialah ungkapan tetap dalam bahasa Cina yang biasanya terbentuk daripada gabungan empat aksara. Penggunaan chengyu adalah popular dan lazim dalam bentuk lisan dan tulisan. Chengyu bukan sahaja menghasilkan nilai estetika dalam bahasa dan kebahasaan, malahan mendukung ketamadunan bangsa melalui penzahiran pemikiran, falsafah dan sosiobudaya. Terjemahan chengyu bukan sahaja menggalakkan interaksi antarbahasa dan antarbudaya, malahan turut memperkaya khazanah keilmuan dan kepustakaan bahasa Melayu. E-terjemahan bersuara membolehkan pengguna mencari padanan chengyu dalam bahasa Melayu hanya dengan memasukkan kata kunci. Paparan chengyu dan padanannya serta segala maklumat tentang chengyu dan padanan berkenaan kemudiannya boleh diperdengarkan. Perisian ini amat sesuai digunakan untuk tujuan pengayaan gaya penulisan dan ucapan serta pengkajian tentang perbandingan bahasa dan cara pengamatan antara dunia bahasa Cina dengan dunia bahasa Melayu. Perisian ini juga bermanfaat untuk proses pembelajaran dan pengajaran serta penterjemahan bahasa Gina-bahasa Melayu. Tatacara pembangunan perisian ini terbahagi kepada empat fasa. Fasa pertama bermula dengan penelitian strategi penterjemahan chengyu ke dalam bahasa Melayu untuk mengenal pasti kaedah penterjemahan yang sesuai. Fasa kedua melibatkan penterjemahan chengyu ke dalam bahasa Melayu dengan memanfaatkan strategi penterjemahan yang dikenal pasti. Fasa ketiga ialah pembinaan pangkalan data dan pembangunan e-terjemahan bersuara. Fasa keempat yang bakal dilaksanakan ialah penilaian dan ujian penggunaan e-terjemahan bersuara yang dibangunkan.