Abstract

Kajian lakuan maternal Landak Raya (Hystrix brachyura) di dalam kurungan telah dijalankan selama dua bulan dengan enam sesi pemerhatian, iaitu Sesi Pemerhatian 1-6 (SP 1 –SP 6). Kaedah pemerhatian yang digunakan adalah kaedah fokal berterusan dan sampel menggunakan seekor ibu dan anak Landak Raya. Lakuan yang telah dikenalpasti ialah rehat, menyusu, gerak, jilat anak dan makan. Terdapat perbezaan yang bererti (p<0.05) untuk aktiviti rehat dan menyusu bagi peratus masa yang diperuntukkan bagi SP 1 hingga SP 6. Manakala untuk aktiviti lain (gerak, jilat anak dan makan) didapati tiada perbezaan bererti (p>0.05) untuk peratus masa yang diperuntukkan untuk SP 1 hingga SP 6. Lakuan utama pada bulan pertama (SP 1 - SP 3) adalah rehat dan diikuti oleh menyusu, tetapi sebaliknya pada bulan kedua (SP 4 - SP 6) yang menunjukkan lakuan menyusu lebih tinggi dan diikuti oleh rehat. Ibu Landak Raya mempunyai enam puting susu yang terletak pada bahagian sisi lateral kiri. Anak Landak Raya lebih cenderung memilih puting susu di bahagian hadapan (T1 dan T2) semasa aktiviti menyusu berlangsung. Dalam kajin ini tidak dapat dikenalpasti waktu penceraian susu bagi anak Landak Raya kerana sehingga SP 6 berlangsung, lakuan menyusu masih berterusan, malahan kadar tempoh menyusu semakin meningkat.