Abstract

Telah terbukti bahawa pembangunan dan kejayaan bioteknologi dan teknologi modifikasi genetik (GM) pada masa hadapan bergantung secara langsung kepada persepsi masyarakat dan sikap pengguna. Kajian lepas menunjukkan bahawa pengguna mempunyai sikap skeptikal terhadap teknologi modifikasi genetik dalam penghasilan makanan. Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti dimensi yang menyumbang kepada pembentukan sikap pelajar terhadap makanan GM selain daripada sikap mereka terhadap perubahan dalam kualiti makanan dan bagaimana ini dapat membentuk cara hidup dan sikap mereka terhadap makanan GM. Pembentukan model dibina berdasarkan kepada model Latifah yang mengandungi enam dimensi iaitu persepsi faedah, persepsi risiko, penerimaan risiko, kebiasaan, aspek moral dan sokongan. Kaedah analisis faktor telah digunakan untuk mengenal pasti dimensi yang membentuk sikap pelajar dalam model yang dibina ini. Didapati dimensi penerimaan risiko mempunyai nilai kebolehpercayaan yang rendah, manakala dimensi baru diperoleh iaitu dimensi kawalan. Hasil analisis faktor telah disahkan dengan penggunaan kaedah pemodelan persamaan berstruktur (SEM). Hasil kajian mendapati bahawa dimensi persepsi faedah, persepsi risiko, kebiasaan, aspek moral, kawalan dan sokongan menyumbang kepada sikap para pelajar terhadap makanan GM.