Abstract

Kajian berkaitan dengan salah konsep pelajar dalam kursus fizik kuantum jarang dilakukan, kerana tidak ramai pelajar yang terlibat dalan kursus berkenaan. Kajian ini dijalankan bagi membantu mengenal pasti salah konsep pelajar pada tahap awal. Kajian ini bertujuan untuk membina ujian diagnostik yang boleh mendiagnosis salah konsep pelajar sains dan menggunakan dapatan kajian bagi membaiki kaedah Pengajaran dan Pembelajaran kursus fizik kuantum. Ujian Diagnostik Fizik kuantum (UDFK) aneka pilihan yang merangkumi konsep cahaya, model atom, sifat keduaan gelombang-zarah, fungsi gelombang dan graf tenaga keupayaan kuantum, dilakukan kepada 200 pelajar universiti. Kajian menunjukkan bahawa ramai pelajar menggunakan konsep klasik untuk menjelaskan fenomena kuantum. Sebagai contoh pelajar menjelaskan bahawa cahaya adalah gelombang, elektron adalah zarah, dan struktur atom selari dengan sistem suria. Bagi mengatasi masalah ini, dicadangkan agar pensyarah mengambil masa lebih untuk menjelaskan takrifan asas dan kaedah penggunaan analogi dalam pengajaran fizik kuantum.