Abstract

Tujuh kompleks praseodimium (Pr) ditiokarbamat 1,10-fenantrolin baru telah berjaya disintesis menggunakan kaedah in-situ hasil daripada tindak balas lapan jenis amina dengan garam praseodimium(III) bersama dengan karbon disulfida. Kaedah metatesis dan kondensasi merupakan kaedah yang paling berjaya telah menghasilkan praseodimium ditiokarbamat 1,10 fenantrolin dengan formula umum Pr[S2CNR1R2]3phen (R1 = etil dan metil; R2 = butil, heptil, isopropil, isobutil, benzil dan sikloheksil; phen= 1,10-fenantrolin). Kesemua kompleks telah dicirikan menggunakan kaedah analisis unsur, inframerah, termogravimetri dan konduktiviti. Analisis unsur telah menunjukkan kesemua kompleks bersetuju dengan formula umum yang dicadangkan. Spektrum inframerah (FTIR) menunjukkan jalur tioureda v(C-N) terletak dalam kawasan julat 1454 – 1484 cm-1 dan jalur ν(C-H) pula terletak dalam kawasan 2853-2973 cm-1. Jalur v(C-S) yang wujud secara tunggal dalam kawasan 959 – 999 cm-1 mengesahkan ia berikatan secara bidentat. Data spektroskopi NMR 13C moeti NCS2 untuk kesemua kompleks terletak dalam julat 192 – 212 ppm. Struktur hablur tunggal Pr[S2CN(CH3)(C7H7)]3phen mempunyai sistem hablur triklinik (kumpulan ruang Pī) dan geometri dodekahedron dengan a = 10.7165(16) Å , b = 12.2897(19) Å, c = 16.586(2) Å, α = 73.887(2)o; β = 74.879(2)o dan γ = 71.837(2)o and Z = 2. Tiga ditiokarbamat dan satu ligan fenantrolin telah berkoordinat kepada atom Pr di pusat secara bidentat.