Kompleks Ru(II), [Ru(bpy)2(pypzH)](PF6)2 dengan bpy = 2,2’-bipiridil dan pypzH= 2-(1H-pirazol-3-il)piridin, telah berjaya disintesis dan dicirikan dengan teknik spektroskopi transformasi Fourier inframerah (FTIR), ultralembayung dan cahaya nampak (UV-Vis), resonans magnet nukleus (RMN), serta spektrometer jisim. Pengiraan dengan kaedah teori fungsi ketumpatan (DFT) dan DFT bersandar masa (TD) telah dijalankan untuk membangunkan struktur optimum dan elektronik kompleks Ru(II). Data yang diperoleh menunjukkan orbital molekul terisi dengan tenaga tertinggi (HOMO) disetempatkan pada logam Ru(II) dan ligan pypzH, manakala orbital molekul tidak terisi dengan tenaga terendah (LUMO) didapati tersebar secara menyeluruh pada kedua-dua struktur ligan bpy. Aktiviti fotomangkin kompleks telah diuji terhadap penguruaian pewarna tekstil bromotimol biru (BTB) disebabkan aktiviti foto [Ru(bpy)2(pypzH)](PF6)2 di bawah sinaran lampu xenon 450W (AM 1.5, penapis inframerah). Kadar dan tertib tindak balas foto-uraian BTB dikenal pasti dan dibincangkan bersama dengan mekanisma foto-uraian BTB.