Sains Malaysiana, 2012;41:597-601.

Abstract

Faktor yang perlu diberi perhatian bagi bahan pemeka foto yang baik adalah keamatan serapan dan kedudukan serapan spektrum elektronik dalam julat cahaya nampak, keupayaan redoks dan kestabilan-fotonya. Kompleks molibdenum ditiolena dengan formula am [MoTp*(NO)(L)] dengan Tp* = tris(3,5-dimetilpirazolil)hidroborat dan L = toluena-3,4-ditiolat (L1); 1,2-benzenaditiolat (L2); 3,6-dikloro-1,2-benzenaditiolat (L3) didapati mempunyai sifat-sifat kimia dan fizik yang diperlukan untuk dijadikan sebagai anod pemeka-foto-elektron untuk sel foto-elektrokimia penguraian molekul air kepada hidrogen dan oksigen. Kompleks Mo-ditiolena yang disintesis daripada prekursor [MoTp*(NO)(I)2] dan sebatian ditiol dengan kehadiran Et3N sebagai agen penurunan dan penyahprotonan telah diciri dengan menggunakan kaedah analisis mikro unsur CHNS, spektroskopi IR, ultra-lembahyung dan cahaya nampak (UV-Vis), dan elektrokimia. Puncak penyerapan UV-Vis (λmax/ nm) dikesan pada 321-331, 369-372, 576-589 dan 736-741nm. Sifat keaktifan fotokimia dan foto-fizik turut dikaji bagi menentukan kesesuaiannya sebagai bahan pemeka foto bagi sel foto-elektrokimia. Ujian kestabilan-foto menunjukkan tiada berlaku penguraian terhadap ketiga-tiga kompleks tersebut selepas sinaran cahaya selama 24 jam.