Sains Malaysiana, 2016;45:1443-1451.

Abstract

Delta 6-asid lemak desaturase dan delta 12-asid lemak desaturase merupakan enzim yang diperlukan bagi langkah desaturasi semasa proses biosintesis asid gamma-linolenik (GLA) oleh kulat oleaginus. Objektif kajian ini ialah untuk menganalisis profil pengekspresan gen mengekod enzim delta 6-asid lemak desaturase (des6) dan delta 12-asid lemak desaturase (des12) kulat oleaginus Cunninghamella bainieri semasa penghasilan GLA. Jujukan gen separa bersaiz 1372 pb bagi des6 dan 1008 pb bagi des12 telah dipencil daripada C. bainieri. Analisis pengekspresan gen menggunakan kaedah tindak balas berantai polimerase kuantitatif masa sebenar (RT-qPCR) menunjukkan perubahan kadar pengekspresan des6 adalah lebih tinggi berbanding kadar pengekspresan des12 semasa penghasilan GLA. Pengekspresan des6 adalah tertinggi selepas 24 jam dikultur dalam medium penghasilan GLA. Namun, kadar pengekspresannya menurun hingga jam ke-96 pertumbuhan tetapi meningkat semula pada jam ke-120. Bagi des12, kadar pengekspresannya adalah lebih sekata dengan pengekspresan tertinggi dikesan pada jam ke-120. Analisis penghasilan GLA menunjukkan jumlah GLA dalam sel berkolerasi dengan kadar pengekspresan des6. Hasil kajian mencadangkan bahawa aras pengekspresan des6 adalah penting dalam menentukan aras GLA dalam C. bainieri.