Sains Malaysiana, 2016;45:1947-1957.

Abstract

Penemuan sasaran dadah antikoksidia baharu merupakan antara usaha yang diperlukan untuk mengawal penyakit koksidiosis ayam yang disebabkan oleh spesies Eimeria. Dalam kajian ini, serpihan yang mengekodkan glikogen sintase kinase-3 (GSK-3) Eimeria tenella putatif telah diamplifikasi daripada cDNA E. tenella. Hasil pemadanan homologi menunjukkan jujukan GSK-3 E. tenella yang terjana mempunyai padanan yang tinggi dengan jujukan GSK-3 organisma lain. Domain terpulihara GSK-3 dan residu yang penting untuk aktiviti GSK-3 juga diramalkan hadir dalam jujukan GSK-3 E. tenella. Analisis struktur sekunder serta pemodelan homologi menunjukkan pembahagian struktur protein kepada domain bebenang beta pada hujung N dan domain heliks alfa pada hujung C, yang merupakan ciri enzim GSK-3. Kesemua hasil analisis ini menyokong bahawa jujukan yang dikaji mengekodkan protein GSK-3 dalam E. tenella. Walaupun darjah keterpuliharaan adalah tinggi, namun terdapat perbezaan yang bermakna diperhatikan antara GSK-3 E. tenella dan perumahnya. Residu Ser 9 yang dilaporkan penting untuk perencatan aktiviti GSK-3 didapati tidak terpulihara dalam GSK-3 E. tenella. Memandangkan Ser 9 merupakan tapak pemfosfatan bagi GSK-3β dalam haiwan vertebrata, ketiadaan residu ini dalam jujukan GSK-3 E. tenella mencadangkan bahawa pengawalaturan GSK-3 E. tenella melibatkan tapak pemfosfatan dan mekanisme yang berbeza. Tambahan pula, hasil analisis filogenetik menunjukkan bahawa GSK-3 E. tenella mempunyai pertalian yang rapat dengan protein GSK-3 tumbuh-tumbuhan. Analisis superposisi GSK-3 E. tenella dengan GSK-3β Homo sapiens pula menunjukkan bahawa perencat GSK-3 mampu berinteraksi dengan protein GSK-3 E. tenella. Keputusan kajian ini mencadangkan bahawa GSK-3 E. tenella mempunyai potensi untuk diperkembangkan sebagai sasaran dadah antikoksidia.