Sains Malaysiana, 2017;46:583-588.

Abstract

Toksoplasmosis adalah penyakit akibat daripada jangkitan Toxoplasma gondii kerana protozoa ini merupakan patogen oportunistik yang penting dalam kalangan penerima organ. Jangkitan biasanya adalah tanpa gejala tetapi ia boleh menjadi serius sehingga mengancam nyawa terutama bagi pesakit terimunokompromi. Oleh itu, suatu kajian irisan lintang dengan pensampelan purposif telah dijalankan untuk mengesan kadar prevalens jangkitan T. gondii dalam kalangan 171 orang pesakit renal kronik di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Subjek kajian dibahagi kepada 2 kumpulan iaitu kumpulan penerima transplan renal yang terdiri daripada 138 orang pesakit renal kronik dan kumpulan kawalan yang merupakan 33 orang pesakit renal kronik yang belum menjalani transplantasi renal. Kaedah serologi iaitu ‘Indirect Immunofluorescent Antibody’ (IFA) digunakan untuk mengesan IgG anti-Toksoplasma di dalam serum kedua-dua kumpulan pesakit. Selain itu, kadar seropositif dan min titer IgG ditentukan berdasarkan tempoh pascatransplantasi. Sebanyak 39.4% pesakit daripada kumpulan kawalan dikesan mempunyai antibodi IgG terhadap T. gondii manakala kadar seropositif dalam kalangan pesakit pascatransplan adalah 30.4%. Hasil kajian turut menunjukkan tempoh pascatransplantasi tidak mempengaruhi corak jangkitan T. gondii walaupun terdapat peningkatan kadar seropositif jangkitan selepas 6 bulan transplantasi renal dijalankan. Di samping itu, wujudnya korelasi antara min titer IgG dan tempoh pascatransplantasi dengan titer meningkat secara signifikan daripada 2.68 kepada 7.14 sejajar dengan pertambahan tempoh pascatransplantasi renal. Kadar kes toksoplasmosis dalam kalangan pesakit pascatransplan boleh dikurangkan sekiranya ujian saringan awal terhadap jangkitan T. gondii dijalankan. Profilaksis dan pemeriksaan susulan juga perlu dilakukan ke atas pesakit renal kronik untuk mengelak daripada berlakunya sebarang kerumitan yang teruk.