Toksoplasmosis pendam dapat menyebabkan pelbagai gangguan hormon dan tingkah laku dalam hos terjangkit. Kami berhasrat untuk mengkaji sero-prevalens Toxoplasma gondii (T. gondii) pendam serta hubungan antara jangkitan dengan pengetahuan dan tingkah laku dalam kalangan 400 ibu hamil. Sampel plasma diuji untuk kehadiran antibodi IgG T. gondii dan soal selidik berstruktur digunakan untuk merekodkan ciri-ciri sosio-demografi responden, maklumat umum dan pengetahuan mengenai faktor risiko, gejala, masa jangkitan, pengetahuan pencegahan serta tingkah laku pencegahan toksoplasmosis. Sero-prevalensi toksoplasmosis pendam dalam wanita hamil adalah 31.8%. Kajian menunjukkan, 69.5% daripada mereka mempunyai kurang pengetahuan mengenai toksoplasmosis. Walau bagaimanapun, majoritinya (99.8%) mengamalkan tingkah laku pencegahan. Analisis regresi logistik berganda menunjukkan wanita hamil dengan tahap pendidikan rendah mempunyai hampir dua kali lebih risiko (nisbah ods terlaras: 1.91, 95% SK 1.18, 3.10; p = 0.008) untuk T. gondii IgG seropositif. Wanita hamil yang mempunyai sejarah perubatan lalu mempunyai dua kali lebih kemungkinan (nisbah ods terlaras: 2.32, 95% SK 1.32, 4.06; p = 0.003) untuk T. gondii IgG seropositif. Selain itu, wanita yang tidak pasti mengenai mod penyebaran penyakit melalui pemindahan darah mempunyai empat kali lebih ods (nisbah ods terlaras: 3.93, 95% SK 1.54, 10.01; p = 0.004) untuk sero-prevalens kronik toksoplasmosis. Wanita yang tidak pasti mengenai keperluan menghindari kucing liar mempunyai nisbah ods terlaras: 0.42 (95% SK 0.24, 0.71, p = 0.001) untuk sero-prevalens kronik toksoplasmosis. Penterjemahan pengetahuan tentang toksoplasmosis kepada amalan tingkah laku pencegahan melalui program pendidikan kesihatan adalah penting untuk mengurangkan risiko penularan penyakit ini dalam kalangan wanita hamil.