Sains Malaysiana, 2018;47:1563-1569.

Abstract

Acanthamoeba spp. merupakan ameba hidup bebas yang tersebar luas di persekitaran. Ameba ini menyebabkan penyakit
keratitis terutamanya kepada individu yang memakai kanta sentuh terkontaminasi atau mempunyai sejarah trauma
pada mata. Tujuh puluh empat sampel kikisan kornea pesakit keratitis daripada 4 buah hospital di sekitar Lembah
Kelang telah dikultur untuk menemukan Acanthamoeba spp. Keputusan kajian mendapati Acanthamoeba spp. berjaya
dipencilkan daripada 14.87% sampel kikisan kornea pesakit keratitis. Berdasarkan kajian ini, kesemua pesakit keratitis
Acanthamoeba adalah merupakan pemakai kanta sentuh yang majoritinya (90.9%) terdiri daripada kaum wanita. Kanta
sentuh lembut terlibat dalam 90.9% kes manakala jenis kanta separa keras cuma satu kes 9.1%. Kesemua 11 pencilan
Acanthamoeba yang dipencilkan adalah daripada kumpulan polyphagids yang biasanya patogenik kepada manusia dan
menyebabkan jangkitan ini. Kegagalan pengguna kanta sentuh mengamalkan tahap kebersihan kanta sentuh yang baik
merupakan faktor risiko yang penting dalam kejadian keratitis Acanthamoeba di Malaysia.