Kajian yang dijalankan adalah berkaitan dengan penentuan model yang sesuai serta analisis data penyerapan logam berat oleh sayuran berdaun yang terpilih iaitu kangkung (Ipomea aquatica), sawi bunga (Brassica chinensis var parachinensis), bayam (Amaranthus oleraceus L) dan sawi putih (Brassica chinensis L.). Kajian ini bertujuan untuk menentukan dan membandingkan kandungan serta corak pengambilan logam berat yang diserap oleh sayuran dan juga bahagian-bahagiannya yang meliputi daun, batang dan akar. Penentuan model yang dibuat bertujuan bagi melihat corak penyerapan logam berat oleh sayuran atau bahagian sayuran tertentu. Logam berat yang dikaji terdiri daripada kadmium , kromium, kuprum, ferum , mangan, plumbum dan zink. Plot serakan digunakan bagi menentukan corak pengambilan logam berat dalam sayuran dan bahagian-bahagiannya. Selain itu ujian Kruskal-Wallis digunakan bagi membuat perbandingan median di antara logam berat yang diserap oleh sayuran yang dikaji. Nilai khi-kuasa dua dan juga nilai-p digunakan bagi menentukan sama ada sesuatu logam berat yang diserap itu berkait rapat dengan jenis sayuran secara signifikan. Secara umum bolehlah dikatakan bahawa logam Fe, Mn dan Zn adalah dominan dalam semua bahagian sayuran yang dikaji. Selain itu, melalui ujian Kruskal-Wallis didapati penyerapan kesemua logam berat pada setiap bahagian sayuran adalah berbeza secara signifikan. Penyuaian model regresi linear, kuadratik, kubik atau eksponen telah dilakukan terhadap data ini dan didapati kebanyakan data dapat disuaikan dengan baik oleh model kuadratik dan kubik berdasarkan nilai pekali penentuan (R2).