Abstract

Kebaikan keluarga adalah kebaikan masyarakat dan begitu pun sebaliknya keburukan keluarga akan tercermin dalam masyarakat terkait. Keluarga sebagai satu organisasi merupakan sumber penghasilan modal insan yang berkualiti. Dengan demikian adalah penting untuk sentiasa menambahbaik kualiti keluarga dari piawai tertentu masa ke semasa. Kajian ini bertujuan menyelidiki status kepuasan dan prestasi keluarga masyarakat Malaysia. Usaha ini akan membantu mengenal pasti langkah penambahbaikan yang perlu diberi keutamaan. Untuk menyukat taraf kualiti prestasi keluarga, pendekatan kualiti yang menggunakan beberapa teori kualiti yang terkenal seperti teori kepuasan pelanggan dan prestasi organisasi dimanfaatkan. Kajian ini melibatkan 1,213 sampel responden yang telah berkahwin dan mempunyai anak dan telah dilakukan di Semenanjung Malaysia. Tiga dimensi yang telah dikenal pasti sebagai parameter utama untuk menyukat prestasi keluarga adalah hubungan keluarga, perkembangan keluarga, dan kelestarian keluarga. Hasil kajian menunjukkan kelestarian keluarga (43.2%) memberikan pengaruh yang kuat ke atas wujudnya ketidakpuasan keluarga manakala dimensi perkembangan keluarga (37.3%) memberikan pengaruh yang kuat ke atas keluarga yang tidak berprestasi. Dua pendekatan kualiti digunakan untuk menganalisis pandangan responden bagi menentukan keutamaan penambahbaikan kualiti keluarga.