Sains Malaysiana, 2017;46:1201-1210.

Abstract

Pengkomposan tandan buah kosong (EFB) dan sisa efluen kilang (POME) merupakan pendekatan lestari bagi menukarkan EFB dan POME kepada baja kompos. Pengkomposan adalah satu proses biologi yang memerlukan pengawalan yang optimum agar nutrien yang terhasil adalah tinggi dan stabil. Cabaran utama yang dihadapi oleh industri kompos ialah untuk menghasilkan kompos yang bernutrien tinggi dan stabil. Objektif kajian ini ialah untuk menganalisis prestasi jangka panjang bagi loji kompos terpilih melalui kandungan nutrien kompos yang dihasilkan. Penyelidikan ini mengkaji prestasi tiga tahun bagi empat loji kompos di Malaysia iaitu loji kompos Merotai, loji kompos Binuang, loji kompos Tanah Merah dan loji kompos Elphil. Prestasi kandungan nutrien yang diambil kira termasuklah nitrogen, kalium, nisbah karbon kepada nitrogen, kandungan kelembapan dan agregat kompos. Sebanyak 1,465 set data nutrien dianalisis secara deskriptif. Secara keseluruhannya, prestasi kandungan nutrien kesemua loji kompos yang dikaji berjaya memenuhi keperluan minimum industri sawit. Namun terdapat kes kompos yang dihasilkan mengandungi nutrien kalium yang tidak mencapai keperluan minimum industri dan kandungan kelembapan kompos yang tinggi. Kesimpulannya, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam proses pengkomposan agar kompos yang dihasilkan mengandungi nutrien yang stabil dan memenuhi keperluan minimum industri