Sains Malaysiana, 2017;46:1779-1787.

Abstract

Makanan dan minuman yang halal dan baik merupakan tuntutan dalam Islam. Pada zaman serba moden ini, timbul
kebimbangan terhadap status halal plasma darah yang digunakan secara meluas terutamanya dalam industri makanan.
Objektif penyelidikan ini ialah untuk mengkaji kegunaan, kebaikan dan keburukan plasma darah serta pandangan ulama
mengenai isu ini. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan ulasan kepustakaan secara deskriptif. Kajian mendapati
bahawa plasma darah mempunyai kemampuan melarut dan pengemulsi yang tinggi, kelikatan yang rendah serta
kemampuan untuk membentuk gel yang kuat. Selain itu, plasma darah boleh menambah baik tekstur dan menjadi pengikat
dalam penghasilan produk makanan moden. Ia juga merupakan alternatif protein yang murah bagi pengganti lemak dalam
penghasilan produk daging rendah lemak. Walau bagaimanapun, kajian mendapati plasma darah mengandungi pelbagai
mikroorganisma dan hasilan metabolisme yang berkemungkinan merbahaya akibat daripada toksin dan protein darah.
Kini, terdapat pelbagai kaedah pengesanan yang boleh dijalankan untuk mengesan plasma darah dalam makanan bagi
menentukan status halal. Terdapat dua pandangan berkenaan hukum penggunaan plasma darah, pandangan pertama
bersependapat, penggunaan plasma darah dalam produk makanan adalah harus jika telah berlaku proses istihalah
yang sempurna. Manakala pandangan kedua, mengharamkan plasma darah kerana ia adalah proses tidak sempurna
(istihalah fasidah). Oleh itu, penentuan hukum terhadap istihalah dalam penghasilan plasma darah mestilah menepati
kehendak syariat Islam di samping memastikan hukum berkaitan isu ini tidak ketinggalan zaman.