Homofobia dalaman dikaitkan dengan perasan negatif yang dirasai oleh seseorang lelaki gay dan menjadi konflik dalaman di dalam dirinya. Homofobia dalaman yang dialami oleh lelaki gay merupakan salah satu petunjuk mengapa mereka mencari sebab untuk berkahwin dengan wanita. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengkaji tahap homofobia yang dialami oleh lelaki gay di Malaysia serta melihat pengaruhnya di dalam menentukan alasan lelaki gay memilih untuk berkahwin atau tidak berkahwin dengan seorang wanita. Responden yang terlibat di dalam kajian ini adalah seramai 29 orang yang dipilih daripada laman sosial Facebook, e-mel, kampus UKM Bangi serta sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Satu set borang soal selidik mengandungi item latar belakang demografi, Internalized Homophobia Scale, serta soalan terbuka tentang alasan lelaki gay berkahwin dan tidak berkahwin dengan wanita telah diedarkan kepada responden. Hasil kajian mendapati bahawa tahap homophobia dalaman lelaki gay bagi sampel ini adalah tinggi iaitu sebanyak 72.7 %. Alasan utama lelaki gay berkahwin adalah untuk mendapatkan zuriat (51.72%), kesedaran merubah identiti seksual (31.03%), desakan keluarga (24.14%) dan damba cinta wanita (24.14%) . Manakala tema utama bagi alasan untuk tidak berkahwin pula adalah tidak yakin melakukan hubungan seks dengan wanita (20.70%), risau terhadap kemampuan mencintai wanita (17.24%), tidak mahu mengecewakan wanita tersebut (10.34%) dan sukar mencari jodoh (10.34%). Sokongan sosial yang padu berupaya mengurangkan diskriminasi serta tahap homofobia yang dialami oleh lelaki gay di Malaysia.