Abstract

Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti punca berlakunya banjir di Segamat pada 17 hingga 21 Disember 2006. Kegiatan termasuklah mengumpul, menilai dan mengalisis data taburan hujan dari Januari 1998 hingga Disember 2006 serta menganalisis data telemetri harian bagi aras dan luahan air sungai pada Disember 2006. Satu set data hujan harian, bulanan dan tahunan dari Stesen Felda Medoi, Segamat telah dianalisis dan dihubungkait dengan data telemetri. Data taburan hujan selama 8 tahun tersebut menunjukkan kawasan Bandar Segamat menerima hujan bulanan yang berjulat daripada 2.5 mm (Februari 2004) sehingga 536.8 mm (Januari 2003). Taburan hujan bulanan Oktober sehingga Disember 2006 menunjukkan kenaikan secara positif, iaitu daripada 118 mm sehingga 435 mm/bulan tetapi berlaku penurunan (392 mm) pada Januari 2007. Hasil kajian menunjukkan bahawa hujan lebat yang luar biasa dan keadaan bentuk topografi yang rendah dan beralun di kawasan kajian adalah penyebab utama banjir di Segamat.