Abstract

Kepekatan fluorida dalam infusi teh komersial bagi sampel teh hitam, teh oolong, teh hijau, teh putih dan teh bata ditentukan dengan menggunakan kaedah elektrod selektif ion fluorida. Dua jenis infusi dilakukan, iaitu infusi berterusan dan infusi berulangan. Dalam infusi berterusan, teh hitam menghasilkan kepekatan fluorida yang paling tinggi, iaitu antara 0.929±0.053 mg/L hingga 3.746±0.028 mg/L. Teh bata pula menghasilkan kepekatan fluorida antara 1.099±0.046 mg/L hingga 2.398±0.006 mg/L. Kepekatan fluorida terlarut bagi teh oolong, teh hijau dan teh putih masing-masing adalah antara 0.584±0.080 mg/L hingga 1.255±0.044 mg/L, 0.624±0.088 mg/L hingga 1.838±0.062 mg/L dan 0.571±0.027 mg/L hingga 1.845±0.017 mg/L. Kandungan kumulatif fluorida dalam infusi berulangan didapati lebih tinggi daripada yang disediakan melalui infusi berterusan bagi semua jenis teh. Hasil kajian menunjukkan kandungan fluorida berbeza-beza dengan jenis teh dan kaedah infusi yang berlainan. Oleh sebab pengambilan fluorida yang berlebihan boleh menyebabkan fluorosis gigi dan fluorosis tulang, maka kerajaan tempatan atau organisasi antarabangsa harus menetapkan suatu piawai keselamatan untuk kandungan fluorida dalam pelbagai jenis teh demi menjamin keselamatan pengguna.