Abstract

Sifat terma dan pembakaran busa poliuretana minyak isirung sawit dan minyak soya dibandingkan. Monoester berkumpulan hujung hidroksil dihasilkan melalui tindak balas minyak isirung sawit (PKO) dan minyak kacang soya (SBO) dengan sebatian polihidrik yang mengandungi dietanolamina/etilena glikol dan mangkin kalium asetat. Tindak balas esterifikasi dan kondensasi ini dijalankan dengan nisbah minyak sayuran kepada sebatian polihidrik adalah 80:20. Monoester ini kemudiannya ditindakbalaskan dengan 2,4-difenilmetana diisosianat untuk menghasilkan poliuretana melalui tindak balas pempolimeran penambahan. Sifat termanya dibandingkan melalui analisis kalorimetri imbasan kebezaan (DSC), analisis termogravimetri (TGA), bom kalorimetri, ujian kestabilan dimensi dan ujian kerintangan api. Busa poliuretana SBO mempunyai nilai entalpi yang rendah daripada busa poliuretana PKO iaitu 7151 kal.g-1 berbanding 7223 kal.g-1 manakala analisis TGA menunjukkan peratus kehilangan jisim busa poliuretana SBO yang rendah (91.0%) berbanding busa poliuretana PKO (92.3%) dengan suhu kestabilan Tstabil adalah masing-masing 196°C dan 198°C. Kadar kebakaran busa poliuretana SBO ialah 0.6-1.2 mm.s-1, rendah daripada kadar kebakaran busa poliuretana PKO iaitu 1.1-1.6 mm.s-1. Menerusi ujian kestabilan dimensi, didapati nilai pengecutan dan pengembangan busa poliuretana SBO adalah kurang daripada busa poliuretana PKO.