Sains Malaysiana, 2016;45:1835-1841.

Abstract

Ancaman biokakisan akibat aktiviti bakteria penurun sulfat (SRB) pada saluran paip keluli karbon dalam industri petroleum boleh menjejaskan kelancaran aliran pengangkutan minyak mentah dan meningkatkan kos pengoperasian. Usaha bagi melindungi keluli karbon serta pengawalan SRB masih memerlukan kajian yang berterusan. Dalam kajian ini, keberkesanan tetrametilamonium bromida (TMB), karboksimetil trimetilamonium (BTN) dan benzalkonium klorida (BKC) bagi melindungi keluli karbon di dalam persekitaran yang mengandungi SRB diuji melalui kaedah pengutuban elektrokimia dinamik (PED) dan morfologi keluli karbon dianalisis menggunakan mikroskop elektron imbasan. Analisis PED mendapati penggunaan TMB, BTN dan BKC masing-masing berupaya mengurangkan kadar kakisan sehingga 0.13, 0.56 dan 0.17 mm/thn berbanding 8.91 mm/thn pada larutan kawalan yang mengandungi SRB. Morfologi permukaan biofilem mengesahkan kadar pertumbuhan SRB serta hasilan metabolisme bakteria ini turut mengalami penyusutan. Kajian ini menunjukkan dua mekanisme kawalan kakisan didapati berlaku iaitu mekanisme perencatan kakisan melalui penjerapan sebatian amonium kuaterner pada permukaan keluli karbon serta berlakunya proses tindak balas mitigasi sebatian ini dengan bakteria SRB. Kesimpulannya, TMB, BTN dan BKC didapati berupaya melindungi keluli karbon daripada mengalami kakisan akibat aktiviti SRB.