Sains Malaysiana, 2016;45:271-277.

Abstract

Keberkesanan perencatan benziltrietilamonium klorida (BK) terhadap perlindungan kakisan keluli karbon di dalam 1 M asid asetik telah dianalisis dengan menggunakan kaedah ujian kehilangan berat. Matlamat kajian adalah untuk menilai tahap kecekapan perencatan BK berdasarkan perubahan nilai kepekatan perencat berkenaan dan suhu. Analisis kehilangan berat menunjukkan kadar kakisan keluli karbon berjaya dikurangkan dengan penggunaan kepekatan BK yang lebih tinggi dan nilai kecekapan perencatan BK mencapai sehingga 70%. Namun kadar kakisan didapati meningkat selari dengan peningkatan suhu. Analisis termodinamik mendapati perencatan BK berjaya mengurangkan proses pelarutan ion-ion logam melalui pembentukan lapisan filem nipis pada permukaan keluli karbon. Analisis juga menunjukkan sebatian BK berupaya menjerap pada permukaan keluli karbon melalui kedua-dua kaedah penjerapan fizikal dan kimia. Proses penjerapan BK pada permukaan keluli karbon didapati lebih menjurus kepada model isoterma penjerapan Langmuir. Analisis morfologi menggunakan mikroskop imbasan elektron turut mengesahkan berlakunya perencatan BK pada tapak permukaan keluli karbon. Keseluruhan kajian mendapati sebatian BK berupaya melindungi keluli karbon daripada mengalami kakisan di dalam medium asid asetik.