Abstract

Kajian ini dijalankan untuk membangunkan pencerai optik 1×12 berasaskan gentian optik polimer (POF) diperbuat daripada polimetil metakrilat (PMAA) sebagai media penghantar isyarat optik berprestasi tinggi. Pada asasnya, peranti optik ini mempunyai 1 pangkalan POF masukan dan 12 pangkalan POF keluaran dalam bentuk gentian terberkas. Banyak sistem yang menggandingkan atau menceraikan isyarat optik menerusi beberapa saluran yang berbeza-beza, yang masing-masing mempunyai kekangan yang tersendiri telah dipasarkan. Walau bagaimanapun, teknologi tersebut terlalu mahal untuk digunakan pada beberapa aplikasi tertentu. Tujuan utama peranti buatan tangan ini ialah untuk membangunkan pencerai optik berkos rendah menggunakan PMMA-POF bagi aplikasi pelbagai guna. Pengganding disuntik dengan diod pemancar cahaya (LED) berwarna merah dengan panjang gelombang 650 nm bagi menganalisis kecekapan kuasa pengganding. Kecekapan yang diperolehi mencapai sehingga 80% kuasa isyarat optik yang merentasi pencerai optik tersebut. Prestasi bagi pencerai optik buatan tangan ini masih dapat diperbaiki melalui latihan yang berterusan.