Kajian ini bertujuan menghasilkan hidrogel responsif berasaskan selulosa bakteria yang diperoleh daripada Nata de
Coco (NDC) dan asid akrilik (AA). Tiga jenis sampel telah disediakan berdasarkan nisbah NDC:AA iaitu sampel hidrogel
A [1:1], B [2:1] dan C [3:1]. Pencangkukan AA terhadap molekul NDC menggunakan kaedah pempolimeran radikal
Gamma (GRP) menghasilkan hidrogel NDC-AA (sumber: 60Co). Kaedah yang menggunakan tenaga yang tinggi ini akan
menghasilkan radikal bebas seperti OH•, H•, H2O2 dan H2. Kesemua radikal ini menyerang kumpulan berfungsi yang
terdapat pada NDC dan AA seterusnya menggalakkan proses pencangkukan AA terhadap NDC. Hidrogel B [2:1] dipilih dan
diuji sebagai penjerap metilena biru (MB) dan perubahan keamatannya telah dianalisis menggunakan spektrofotometer
UV-VIS. Keputusan yang diperoleh telah diselaraskan dengan dua model isoterma, Langmuir dan Freundlich. Perbandingan
pemalar bagi kedua-dua model isoterma ini mendapati hidrogel B [2:1] yang dihasilkan telah mematuhi kedua-dua
model isoterma. Keputusan yang diperoleh ini menyokong keupayaan hidrogel B [2:1] untuk digunakan sebagai penjerap
alternatif MB yang paling efisien.