Sains Malaysiana, 2018;47:2685-2691.

Abstract

Penunjuk pH sebagai suatu pendekatan untuk memantau kualiti atau kesegaran makanan semasa telah mendapat perhatian
industri pembungkusan makanan. Penggunaan sumber semula jadi pigmen tumbuhan terutamanya daripada buah-buahan
dan sayur-sayuran menjadi pilihan para pengguna untuk menggantikan pewarna sintetik dalam memastikan keselamatan
makanan yang diambil setiap hari. Dalam kajian ini, ekstrak daripada bilberi telah digunakan sebagai pewarna sensitif
pH. Perubahan warna sampel dikaji secara terperinci melalui kaedah kromametri dan juga kaedah spektrofotometri
ultra-lembayung nampak. Warna merah terang terhasil dalam pH berasid, merah pudar pada neutral dan magenta ke
kuning dalam pH beralkali. Keputusan kajian kromametri menunjukkan bahawa ekstrak bilberi berupaya mempamerkan
perubahan warna yang jelas terhadap perubahan pH, iaitu terdapat perubahan nilai warna a* yang menyumbang kepada
perubahan yang bererti dalam perbezaan warna keseluruhan (ΔE*). Nilai ΔE* juga ditentukan wujud hubungan linear
dan kuantitatif terhadap julat pH tertentu. Oleh yang demikian, ekstrak bilberi didapati berpotensi sebagai bahan sensor
untuk pH dalam membangunkan satu sensor pH bagi memantau kesegaran makanan terutamanya hasilan laut berbungkus
memandangkan tahap kerosakan produk tersebut berkait rapat dengan perubahan pH ke arah alkali.