Sains Malaysiana, 2018;47:773-779.

Abstract

Urografi intravena (IVU) dan tomografi berkomputer helikal tanpa kontras (UHCT) urografi adalah dua prosedur utama
yang akan dijalankan semasa kajian radiologi bagi pengesanan urolitiasis (batu karang) pada sistem genitourinari.
Dedahan terhadap sinaran radiasi merupakan faktor kebimbangan utama dalam kedua-dua prosedur. Oleh itu, satu
kajian perbandingan dos sinaran telah dijalankan antara prosedur IVU dan UHCT urografi di samping menentukan faktor
dedahan optimum bagi kedua-dua prosedur tersebut. Kajian ini telah dijalankan ke atas fantom antropomorfi seluruh
tubuh mengikut protokol sebenar bagi prosedur UHCT urografi dan penghasilan radiografi bersiri beserta dengan
pemberian media berkontras bagi prosedur IVU. Sebanyak tiga parameter dedahan voltan tiub digunakan iaitu 75, 80
dan 85 kVp bagi prosedur IVU dan 100, 120 dan 140 kVp bagi prosedur UHCT urografi. Hasil dos sinaran bagi prosedur
IVU yang diperoleh adalah 1.40, 2.10 dan 2.79 mSv bagi 75, 80 dan 85 kVp. Manakala bagi prosedur UHCT urografi,
sebanyak 0.76, 1.32 dan 1.82 mSv dos sinaran direkodkan bagi 100, 120 dan 140 kVp. Hasil kualiti imej optimum adalah
menggunakan dedahan sebanyak 85 kVp bagi prosedur IVU dan 120 kVp bagi prosedur UHCT urografi. Kesimpulannya,
walaupun tidak terdapat perbezaan signifikan, dos sinaran yang terhasil daripada prosedur IVU adalah tekal lebih tinggi
daripada prosedur UHCT urografi.