Displaying publications 81 - 85 of 85 in total

Abstract:
Sort:
  1. Ahmad Nazlim Yusoff
    MyJurnal
    Kajian pengimejan resonans magnet kefungsian (fMRI) subjek tunggal ini menyelidiki kesan daya dan laju tepikan ke atas sifat pengaktifan korteks berkaitan motor semasa tepikan jari rentak sendiri secara bilateral. Subjek melakukan empat cara tepikan jari rentak sendiri iaitu sentuh-perlahan (SP), sentuh-laju (SL), tekan-perlahan (TP) dan tekan-laju (TL) dalam satu imbasan fMRI. Model linear am (GLM) digunakan dalam penjanaan pengaktifan otak. Pentaakulan statistik kemudiannya dibuat mengenai pengaktifan otak menggunakan teori medan rawak (RFT) Gaussian pada aras keertian diperbetulkan (α = 0.05), dengan andaian tiada pengaktifan berlaku. Keputusan mendapati otak mengkoordinasi tepikan jari bilateral rentak sendiri dengan penglibatan korteks berkaitan motor iaitu girus presentral (PCG) bilateral, serebelum bilateral dan juga kawasan motor tambahan (SMA). Peningkatan daya tepikan menonjolkan pengaktifan yang bererti (p < 0.05 diperbetulkan) pada PCG bilateral (Kawasan Brodmann (BA) 6) sejajar dengan fungsinya dalam mencetus tindakan motor seperti mengawal daya tepikan. Peningkatan laju tepikan pula menyebabkan peningkatan pengaktifan otak secara bererti (p < 0.05 diperbetulkan) hanya pada korteks kesatuan somatoderia iaitu pada lobus parietal superior (SPL) kanan atau BA7 kanan. Ini mencadangkan bahawa SPL memainkan peranan penting dalam mengkoordinasi pergerakan berkemahiran terancang.


    Matched MeSH terms: Ataxia Telangiectasia
  2. Lee, Szu Ming, Poh, Bee Koon, Mohd Ismail Noor, Ahmad Fuad Shamsuddin
    MyJurnal
    Kafein mempunyai kesan ergogenik terhadap golongan yang terlatih; walaubagaimanapun, kajian kesan fisiologi kafein terhadap golongan sedentari adalah amat terhad. Tujuan kajian ini adalah untuk mengkaji kesan kafein ke atas penggunaan oksigen dan tanggapan tahap lesu semasa senaman intensiti sederhana dalam kalangan dewasa muda perempuan yang sedentari. Subjek terdiri daripada 16 orang mahasiswi yang berumur antara 22 hingga 24 tahun. Kriteria penerimaan adalah tahap aktiviti fizikal yang rendah dan pengambilan kafein adalah kurang daripada 50 mg sehari, disaring dengan menggunakan Soal Selidik Aktiviti Fizikal Antarabangsa (versi pendek) dan soal selidik pengambilan kafein. Reka bentuk kajian eksperimental ini adalah buta tunggal, pindah silang, kawalan plasebo dengan semua subjek menjadi kawalannya tersendiri. Subjek dikehendaki malaporkan diri ke makmal untuk menjalankan dua sesi eksperimen selepas masing-masing mengambil kapsul plasebo atau kafein dengan selang masa 3 hari antara dua sesi eksperimen tersebut. Enam puluh minit selepas mengambil kapsul plasebo (Glucolin, glukosa) atau 100 mg kafein (Pro-plus, United Kingdom), subjek dikehendaki berlari di atas treadmill selama 30 minit pada kuasa kerja yang bersamaan 60% daripada anggaran maksimum kadar denyutan jantung. Penggunaan oksigen, kadar denyutan jantung dan tanggapan tahap lesu direkod pada minit ke-20, ke-25 dan ke-30, manakala tekanan darah direkod serta-merta selepas subjek menghabiskan larian. Perbezaan direkod selepas kesemua subjek menyempurnakan kedua-dua eksperimen plasebo dan kafein. Min peratus lemak tubuh subjek adalah 28.4 ± 5.4. Ujian t bersandar menunjukkan tiada perbezaan signifikan antara trial plasebo dengan trial kafein ke atas penggunaan oksigen (13.99 ± 2.47 vs 14.49 ± 1.73, p = 0.440), tanggapan tahap lesu (12.3 ± 2.5 vs 12.3 ± 2.1, p = 1.000), tekanan darah sistolik (113 ± 10 vs 117 ± 11, p = 0.129), tekanan diastolik (67 ± 8 vs 69 ± 10, p = 0.408) dan kadar denyutan jantung (127.3 ± 11.0 vs 127.1 ± 11.6, p = 0.912). Terdapat korelasi negatif tinggi yang signifikan antara peratusan lemak tubuh dengan pengambilan oksigen (r = –0.568, p < 0.05) serta korelasi positif tinggi yang signifikan antara peratusan lemak tubuh dengan tanggapan tahap lesu (r = 0.515, p < 0.05). Hasil kajian tidak meningkatkan kesan yang signifikan mungkin disebabkan oleh kesan saiz (effect size) kajian ini yang kecil (d = 0.24). Justeru itu, kajian masa depan yang melibatkan lebih ramai subjek harus dijalankan untuk mengkaji kesan kafein semasa senaman dalam kalangan populasi sedentari.
    Matched MeSH terms: Ataxia Telangiectasia
  3. Ahmad Fauzi Awang
    MyJurnal
    Kerosakan lif penumpang yang sering berlaku di rumah pangsa kos rendah merupakan salah satu isu utama di JKKP Wilayah Persekutuan. Statistik menunjukkan bilangan rumah pangsa paling tinggi terletak di Wilayah Persekutuan. Ini bermakna bilangan lif di rumah pangsa kos rendah adalah tertinggi di Wilayah Persekutuan berbanding negeri – negeri lain. Satu kajian ‘Field Labarotary’ telah dijalankan diperingkat JKKP Wilayah Persekutuan bagi mencari punca permasalahan ini dan seterusnya mencadangkan penambahbaikan berdasarkan kepada permasalahan yang telah dikenalpasti. Kajian ini merangkumi beberapa tindakan seperti mengadakan dialog dengan wakil penghuni rumah pangsa kos rendah di sekitar Wilayah Persekutuan bagi mengenalpasti masalah-masalah yang dihadapi oleh penghuni runmah pangsa kos rendah, penyediaan senarai semak pemeriksaan lif bagi mengenalpasti masalah – masalah teknikal, mengadakan perjumpaan dengan wakil syarikat – syarikat lif bagi mendapatkan data – data yang diperlukan daripada firma – firma kompetan lif dan pengurusan lif di rumah pangsa kos rendah dan menjalankan operasi khas pemeriksaan lif di 409 unit lif yang beroperasi di rumah pangsa kos rendah bagi mengenalpasti kelemahan – kelemahan pada lif yang sedang beroperasi. Kajian telah mengenalpasti beberapa faktor penyumbang kepada isu keselamatan lif di rumah pangsa kos rendah di antaranya bilangan orang kompetan yang diiktiraf oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di dapati tidak mencukupi untuk menjalankan pemeriksaan yang diperlukan ke atas kesemua lif secara komprehensif, kegagalan syarikat lif menunaikan tanggungjawab menjalankan pemeriksaan yang diwajibkan ke atas lif yang berkait rapat dengan isu bilangan orang kompetan yang ada pada setiap firma kompetan, kegagalan pemilik atau badan pengurusan bersama memastikan lif di periksa pada jangkamasa yang ditetapkan serta memastikan lif sentiasa mempunyai sijil kelayakan yang sah, kegagalan JKKP sendiri mengambil tindakan yang diperuntukan oleh Akta dan Peraturan ke atas perlanggaran peruntukan oleh firma kompetan atau pemilik bangunan, ketiadaan kerjasama di antara agensi – agensi kerajaan yang terlibat di dalam rekabentuk dan penyenggaraan lif di rumah pangsa kos rendah dan paling utama ialah isu vandalime yang berkaitan dengan sikap penduduk dan pengguna lif di rumah pangsa kos rendah yang tidak bertanggungjawab merosakan lif.
    Matched MeSH terms: Ataxia Telangiectasia
  4. Rado Y, Wan Zawiah Wan Zin, Abdul Aziz Jemain
    Sains Malaysiana, 2014;43:359-367.
    Kajian ini bertujuan mendapatkan gabungan statistik untuk pemodelan hujan kelompok berstokastik Denyut Segi Empat Neyman-Scott (NSRP) yang mampu memberikan pemadanan terbaik bagi hujan di stesen hujan Semenanjung Malaysia. Enam set gabungan statistik, yang setiap setnya mengandungi gabungan statistik momen (1, 2 dan 3) dan kebarangkalian hujan dalam selang masa yang singkat (jam) dan panjang (harian), serta empat taburan yang berbeza bagi kelebatan sel hujan (Eksponen, Campuran Eksponen, Gamma dan Weibull) telah dikaji. Penyelidikan telah dilakukan ke atas sembilan stesen hujan yang mewakili rantau yang berbeza di Semenanjung Malaysia. Hasil mendapati bahawa statistik momen ke-3 (kepencongan) tidak memberikan sumbangan yang baik dalam menjayakan model. Selang masa 1, 6 dan 24 jam didapati yang terbaik bagi statistik momen kedua (variasi) bagi menjayakan model. Kajian ini juga mendapati bahawa taburan eksponen adalah yang terbaik bagi pemodelan hujan NSRP di Semenanjung Malaysia.
    Matched MeSH terms: Ataxia Telangiectasia
  5. A.N. Yusoff
    Sains Malaysiana, 2013;42:765-771.
    Kajian pengimejan resonans magnet kefungsian (fMRI) subjek tunggal ini menyelidiki interaksi psikofisiologi (PPI) antara girus presentral (PCG) dan lobus parietal superior (SPL) kanan semasa tepikan jari rentak sendiri secara bilateral. Model kehubungan efektif antara PCG dan SPL kanan dibina menggunakan analisis PPI dengan mengambil daya dan laju tepikan sebagai faktor uji kaji. Keputusan menunjukkan bahawa peningkatan daya dan laju tepikan masing-masing mengaktifkan PCG bilateral dan SPL kanan secara bererti (p<0.05). PCG dan SPL kanan didapati saling berhubungan semasa tepikan jari dilakukan dengan daya dan laju tepikan sebagai faktor uji kaji yang mempengaruhi kehubungan efektif antara mereka. Kajian ini telah mendedahkan maklumat asas berguna untuk kajian fMRI pada masa depan ke atas koordinasi motor dan boleh digunakan untuk mengkaji ketaktertiban otak misalnya strok.
    Matched MeSH terms: Ataxia Telangiectasia
Filters
Contact Us

Please provide feedback to Administrator (afdal@afpm.org.my)

External Links