Sains Malaysiana, 2016;45:1879-1885.

Abstract

Setiap kejadian semula jadi merupakan rahmat dan memberi kemaslahatan kepada manusia termasuklah pendarahan haid dalam kalangan wanita. Haid merupakan suatu proses yang unik dan terancang yang melibatkan tiga fasa utama iaitu fasa haid, fasa folikel dan fasa luteal. Objektif penyelidikan ini ialah untuk mengkaji dan menghubungkaitkan kebaikan haid daripada perspektif sains dan maqasid syariah. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan ulasan literatur secara deskriptif. Kajian mendapati bahawa perubahan hormon, warna darah dan faktor fiziokimia lain memberi kesan terhadap kenormalan kitaran haid. Darah haid juga dikenal pasti mempunyai agen antimikrob terutamanya terhadap bakteria E. coli dan bakteria Gram-negatif lain. Hal ini bertepatan dengan maqasid syariah memelihara jiwa kerana haid mampu juga memelihara kesihatan wanita. Selain itu, kajian lepas menemukan bahawa darah haid terdiri daripada sel stem yang boleh digunakan dalam aktiviti klinikal pada masa akan datang. Maqasid syariah melindungi keturunan juga dapat dilihat dengan kehadiran haid yang sering digunakan bagi menjangkakan waktu subur bagi merancang kehamilan. Hikmah Islam melarang mendekatkan diri (bersetubuh) dengan wanita yang sedang haid adalah satu rahmat yang besar, kerana wanita yang sedang haid biasanya mempunyai kelaziman gejala prahaid (PMS) yang melibatkan isu kesihatan. Oleh itu, haid daripada perspektif sains adalah bertepatan dengan maqasid syariah.