Kajian ini bertujuan untuk mengkaji tiga tujuan utama iaitu: (1) mengenal pasti tahap tret personaliti di kalangan pegawai sukan di UKM; (2) untuk mengenal pasti tahap prestasi kerja di kalangan pegawai sukan di UKM; (3) untuk mengkaji hubungan antara tret personaliti dan prestasi kerja di kalangan pegawai sukan di UKM. 44 item Questionnaire Inventori Besar Lima (BFI) diadaptasi daripada John dan Srivastava (1999) yang mempunyai lima dimensi, iaitu Ekstraversi, Kesedaran, Keterbukaan fikiran, Kesetujuan dan Neurotisme. Prestasi kerja diukur dengan menggunakan markah daripada Sistem Penilaian Prestasi (SPPP). Soal selidik ini melibatkan responden daripada kalangan pegawai sukan (N = 36) di UKM. Hasilnya menunjukkan bahawa min tertinggi bagi tret personaliti adalah Keterbukaan fikiran dengan nilai min (M = 3.70) dan tahap prestasi kerja adalah sangat tinggi (M = 92.98). Di samping itu, hasil analisis korelasi menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan antara tret personaliti dan prestasi kerja di kalangan pegawai sukan di UKM (sig = 0.010, p < 0.05). Kesimpulannya, tret personaliti iaitu keterbukaan fikiran dalam kalangan pegawai sukan amat penting dalam membentuk pekerja agar lebih meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa.