Jurnal Psikologi Malaysia, 2014;olume 28:12-35.

Abstract

Kajian ini bertujuan menterjemahkan soalselidik Skala Konsep Kendiri Multidimensi (SKKM) edisi bahasa Inggeris ke dalam bahasa Malaysia, mendapatkan kesahan kandungan dan nilai kebolehpercayaan. SKKM dibina oleh Bracken (1992) bertujuan mengukur konsep kendiri berdasarkan Model Konsep Kendiri Multidimensi (MKKM). SKKM mempunyai 150 item (74 item positif dan 76 item negatif) yang mengukur enam sub skala konsep kendiri iaitu konsep kendiri sosial, kemampuan, perasaan, keluarga, fizikal dan akademik. Proses penterjemahan SKKM ke dalam bahasa Malaysia menggunakan kaedah back translation yang dicadangkan oleh Brislin, Lonner dan Thondike (1973). Item-item dalam SKKM diubahsuai mengikut nilai dan budaya masyarakat tempatan dan dinilai terjemahannya oleh tiga panel bahasa Melayu dan tiga panel bahasa Inggeris. Bagi analisis kesahan muka seramai lapan pelajar sekolah menengah dan tiga pakar bahasa Melayu terlibat dalam membaiki bahasa, struktur ayat dan kefahaman istilah-istilah dalam SKKM. Seterusnya, SKKM dinilai oleh tujuh panel pakar bagi menilai kesahan kandungannya. Seterusnya analisis kepercayaan dijalankan terhadap 214 pelajar di dua buah sekolah menegah di negeri Selangor, Malaysia. Dapatan kajian mendapati nilai kesahan kandungan oleh panel pakar memperoleh nilai koefisien yang tinggi iaitu = 0.822 dengan nilai minimum dan maksimum juga melebihi .60. Nilai koefisien terendah ialah bagi sub skala konsep kendiri keluarga iaitu .668 dan nilai tertinggi ialah bagi sub skala konsep kendiri sosial iaitu .964. Analisis kebolehpercayaan SKKM juga memuaskan dengan nilai keseluruhan ialah .757. Huraian berdasarkan subskala ialah Sosial α = .7.93, Kemampuan α = .770, Perasaan α = .744, Keluarga α = .680, Fizikal α = .791 dan Akademik α = .762. Bagi analisis nilai kebolehpercayaan berdasarkan item-item mendapati nilai kebolehpercayaan tertinggi ialah soalan nombor 103 subskala keluarga iaitu .902 dan nilai terendah ialah item soalan nombor 49 subskala kemampuan iaitu .762. Justeru kajian ini berjaya menterjemahkan SKKM yang mempunyai nilai kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi dan boleh diaplikasikan dalam kalangan remaja di Malaysia.