Sains Malaysiana, 2011;40:1179-1186.

Abstract

Penyelidikan ini dilakukan untuk mengkaji ciri akustik serabut sabut kelapa yang berpotensi digunakan sebagai bahan penyerap bunyi. Untuk meningkatkan ciri akustik serabut sabut kelapa pada frekuensi rendah, lapisan berliang digunakan di bahagian depan atau belakang bertujuan untuk meningkatkan nilai galangan permukaan. Bahan selanjutnya dilapisi dengan plat berlubang dengan nisbah keluasan yang berbeza. Sampel diuji mengikut piawaian antarabangsa ASTM E 1050-98 untuk menentukan pekali penyerapan bunyi. Daripada hasil uji kaji, plat 1 mm berlubang yang diperbuat daripada kepingan aluminium yang melapisi serabut sabut kelapa, didapati bahawa nilai maksimum pekali penyerapan bunyi berada pada frekuensi antara 2750 Hz hingga 2825 Hz iaitu dengan nilai 0.97. Nilai nisbah keluasan plat berlubang memberikan pengaruh penurunan pekali penyerapan bunyi pada frekuensi tinggi. Penurunan nilai pekali penyerapan bunyi terjadi apabila plat berlubang mempunyai nilai nisbah keluasan di bawah 0.22. Akan tetapi, penggunaan plat berlubang boleh meningkatkan prestasi penyerapan bunyi serabut sabut kelapa pada frekuensi rendah. Kesepakatan yang baik diperoleh daripada keputusan uji kaji dan analisis dengan pendekatan rangkaian elektrik setara yang digunakan untuk menghitung nilai pekali penyerapan bunyi. Ini menunjukkan bahawa pendekatan rangkaian elektrik setara boleh digunakan untuk merancang dan mengoptimumkan ciri akustik serabut sabut sebagai bahan penyerap bunyi.