Sains Malaysiana, 2016;45:1931-1938.

Abstract

Ketidaksuburan idiopati dalam kalangan lelaki telah dikaitkan dengan kesan psikostres. Walaupun begitu, hubungan langsung antara psikostres dan ketaknormalan kualiti semen masih samar. Maka, kajian ini dijalankan untuk menentukan kesan psikostres terhadap kualiti semen terutama kesan berdasarkan residu sitoplasma dan kerosakan DNA sperma. Dalam kajian ini, responden lelaki berumur antara 25-45 tahun dipilih secara rawak dalam kalangan pesakit yang mendapatkan rawatan di Pusat Kesuburan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Seramai 331 responden akhirnya telah dipilih daripada 628 responden selepas mengambil kira faktor penolakan. Setiap responden perlu menjawab borang keizinan dan soal selidik GHQ-12 bagi penentuan tahap stres sebelum pengambilan sampel semen mengikut piawaian WHO (2010). Tahap stres diukur berdasarkan keadaan semasa responden dalam tempoh 3-4 minggu sebelum kajian. Analisis semen, pewarnaan papanicolau dan asai komet neutral digunakan untuk penentuan kualiti semen dan kerosakan DNA sperma. Keputusan menunjukkan tidak terdapat hubungan yang signifikan antara psikostres dan ketaknormalan residu sitoplasma (U=895.50, p=0.08). Namun begitu, psikostres memberi kesan kepada peratus morfologi normal (U=6317.50, p<0.05) dan kerosakan DNA sperma (U=1047.00, p<0.01). Kesimpulannya, psikostres kronik boleh menjejaskan kualiti semen dan kerosakan DNA sperma serta mempengaruhi kesuburan.