Affiliations 

  • 1 Universiti of Malaya
MyJurnal

Abstract

Kajian ini memberi tumpuan terhadap salah satu kategori lakuan bahasa yang diperkenalkan oleh Searle (1969), iaitu lakuan ekspresi. Lakuan ekspresi ialah ujaran-ujaran yang menunjukkan pernyataan psikologi yang memberi gambaran tentang sikap dan perasaan penutur. Analisis kajian ini dilakukan terhadap ujaran-ujaran yang terdapat dalam 40 artikel kritikan Tun Dr. Mahathir dalam isu 1MDB. Melalui kajian ini, sebanyak lima kategori telah dikenal pasti, iaitu lakuan pernyataan, lakuan kritikan, lakuan rujukan, lakuan arahan, dan lakuan ekspresi. Namun demikian, kajian ini hanya memberi tumpuan terhadap lakuan bahasa ekspresi. Analisis mendapati lakuan ekspresi menunjukkan bilangan ujaran paling sedikit berbanding dengan kategori lakuan bahasa yang lain, iaitu sebanyak 20 kekerapan. Lakuan pernyataan mencatatkan kekerapan tertinggi, dengan jumlah kekerapan sebanyak 1302 ujaran, diikuti oleh lakuan kritikan di tempat kedua dengan kekerapan sebanyak 828. Lakuan rujukan dan lakuan arahan masing-masing dengan kekerapan sebanyak 297 dan 128. Hal ini menunjukkan bahawa Tun Dr. Mahathir melakukan kritikan tanpa mengutamakan ekspresi perasaan atau emosi. Sebanyak tujuh sublakuan ekspresi yang ditemui, iaitu lakuan bimbang, hairan, ucapan selamat, kehendak, enggan, minta maaf, dan ucapan terima kasih. Hal ini merumuskan bahawa dalam kritikan, khususnya kritikan bertulis, Tun Dr. Mahathir tidak menunjukkan ekspresi emosi yang berlebihan.