Affiliations 

  • 1 Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang
  • 2 Universiti Malaysia Sabah
MyJurnal

Abstract

Filem-filem alternatif bukan hanya sekadar cerita, tetapi terdapat mesej dan idea yang tersirat yang wujud sebagai wadah media menyampaikan sesuatu ideologi. Idea yang dilontarkan melalui filem alternatif lebih bersifat kritikal dalam memaparkan realiti hubungan etnik di Malaysia. Kajian ini memfokuskan kepada resepsi audiens remaja terhadap filem alternatif Malaysia yang mana tumpuan adalah kepada pendekatan neo-realisme yang wujud dalam penafsiran mesej di antara informan dengan teks filem alternatif Nasi Lemak 2.0 (NL 2.0). Kajian ini juga melihat adakah wujud pendekatan neorealisem dalam penafsiran mesej di antara informan dengan teks filem? Kajian ini menggunakan dua kaedah analisis iaitu analisis tekstual dan analisis tematik dalam mencari pendekatan neo-realisem yang wujud dalam filem NL 2.0 ini. Kajian ini terdiri daripada 56 orang pelajar iaitu 28 orang pelajar lelaki dan 28 pelajar perempuan dari pelbagai etnik. Neo-realisme adalah gambaran awal tentang sesuatu perkara sebenar (terutamanya aspek kehidupan) dan tidak bersifat khayalan (Bazin Andre diterjemah oleh Gray Hugh, 1972). Pendekatan neo-realisme yang dipaparkan oleh Namewee dalam filem ini sangat jelas melalui representasi kepelbagaian kebudayaan etnik di Malaysia. Pendekatan neo-realisme ini membawa kepada cerminan realiti kehidupan masyarakat kepelbagaian etnik di Malaysia pada masa kini yang mana informan mengaitkan naskah filem alternatif ini dengan kehidupan seharian. Selain itu juga, kajian ini melihat pendekatan neo-realisme membentuk sosiobudaya kepelbagaian etnik dalam naskah filem dan realiti sebenar informan. Penghasilan filem ini cuba memaparkan masyarakat Malaysia yang pelbagai etnik secara semulajadi dan jelaslah menunjukkan bahawa filem alternatif sebagai wadah penyampaian ideologi yang membentuk penyatuan dalam kalangan masyarakat Malaysia