Affiliations 

  • 1 Universiti Malaysia Sabah
MyJurnal

Abstract

Darwinisme sosial merupakan sebuah teori yang diagungkan oleh kuasa Barat bagi mewujudkan jurang perbezaan manusia dalam pelbagai aspek dengan mengangkat status mereka sebagai bangsa ‘superior’, manakala bangsa kulit hitam dan berwarna pula dikategorikan sebagai ‘inferior’ atau “lesser breed’’ pada abad ke-19. Justeru kajian ini akan memberi tumpuan kepada analisis bagaimana kuasa barat cuba untuk mengimplementasikan teori ini kepada penduduk di Borneo Utara dengan menggunakan dan menerapkan sistem sosial serta budaya mereka sebagai acuan bagi membentuk masyarakat yang mempunyai ketamadunan moden seperti yang mereka percayai bahawa itu merupakan tanggungjawab mereka menerusi slogan “white man burden”. Bagi mencapai objektif ini, kaedah kajian secara kualitatif telah digunakan dengan merujuk kepada sumber primer dan sekunder sebagai sumber utama. Sumber-sumber tersebut merupakan bahan yang dapat diakses di Arkib Negeri dan perpustakaan, serta terdiri daripada buku dan artikel yang terdapat dalam jurnal. Selain itu, sumber daripada laman sesawang yang releven juga digunakan bagi mengukuhkan hujah dan perbincangannya. Dapatan utama kajian ini mendapati bahawa penjajahan kuasa barat khususnya British dalam menguasai Borneo Utara bukan hanya bermatlamatkan pengeksploitasian ekonomi sahaja, namun mereka juga bertujuan untuk mengubah kehidupan tradisional penduduk tempatan memandangkan mereka beranggapan bahawa itu adalah suatu tanggungjawab yang mereka pikul dalam mendidik bangsa yang lebih rendah dari mereka, banyak berkait rapat dengan status dan maruah mereka sebagai kuasa imperialis yang mempromosikan ketamadunan. Maka, demi mencapai matlamat tersebut, pelbagai transformasi dan perubahan yang telah dilakukan oleh British dalam pelbagai aspek bagi mengubah taraf hidup penduduk tempatan khususnya dalam aspek ekonomi, politik dan sosial. Oleh itu, penulis akan membincangkan secara lebih mendalam mengenai justifikasi teori tersebut, serta dengan lebih lanjut bagi membincangkan apakah aspek dan pendekatan yang digunakan oleh Barat dalam mentamadunkan penduduk di Borneo Utara seperti apa yang mereka percayai menurut Darwinisme Sosial.