Affiliations 

  • 1 Universiti Kebangsaan Malaysia Medical Centre
Medicine & Health, 2020;15(2):224-235.
MyJurnal

Abstract

Ovitrap autosidal berperanan penting dalam pemantauan dan kawalan vektor denggi, Aedes aegypti and Aedes albopictus. Beberapa jenis ovitrap ini telah digunakan di Malaysia termasuklah Mosquito Larvae Trapping Device (MLTD) yang diperkenalkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Kajian ini bertujuan untuk menilai kepadatan larva Aedes dan pembolehubah meteorologi setempat di sebuah penempatan pelajar di Cheras, Kuala Lumpur. MLTD (n=30) dengan umpan larutan baja NPK (5:5:5) organik telah digunakan. Pengumpulan larva dan penyelenggaraan ovitrap telah dilakukan setiap minggu selama lapan minggu. Pemeliharaan larva dan penentuan spesies telah dijalankan di makmal. Daripada sejumlah 2,152 larva Aedes, 85% merupakan Ae. albopictus manakala selebihnya Ae. aegypti. Ae. albopictus lebih banyak dikumpulkan di luar berbanding di dalam bangunan (purata larva per ovitrap, 9.28 lawan 6.08). Sebaliknya, Ae. aegypti lebih banyak dikumpulkan di dalam berbanding di luar bangunan (1.72 lawan 0.86). Ovitrap indeks yang paling tinggi adalah semasa minggu kelima (90%) dan keenam (93%). Minggu pertama menunjukkan ovitrap indeks yang paling rendah (30%). Analisis mendapati korelasi positif antara kepadatan larva Aedes dan suhu maksimum (r=0.830, p=0.011), manakala kelembapan relatif minimum menunjukkan korelasi negatif (r=-0.778, p=0.023). Pemantauan rutin bagi peringkat pramatang vektor denggi boleh memberikan maklumat mengenai kepadatan dan naik turun populasi nyamuk setempat. Apabila digandingkan dengan faktor meteorologi sejajar, maklumat ini dapat memberi panduan bagi perlaksanaan kawalan vektor sebagai sebahagian strategi pencegahan denggi.